Followers

Monday, April 13, 2009

Sehelai kertas tisu

Waktu yang paling seronok bagi sebuah keluarga adalah sewaktu makan bersama dimeja makan. Sambil makan aku akan mencari-cari siapa lagi yang belum makan. Makan untuk hidup bukannya hidup untuk makan.

Pada suatu malam selepas magrib kami berkumpul dimeja makan. Hari tu aku tidak memasak kerana ingin menjamu mee hoon sup yang dibeli di gerai PKNS tu sedap dan ingin berkongsi kenikmatan mee hoon sup tu dengan anak-anak dan cucu-cucu yang datang dari Shah Alam. Kalau memasak tak dapatlah nak bersembang-sembang di meja makan tu.

Cucu ku nampaknya berselera makan dengan menghirup sup kemulutnya. Aku teringat masa anak-anak ku kecil dulu begitulah telatah anak-anak makan. Masa dulu aku jarang membeli makanan yang sudah dimasak kerana anak-anak ramai kenalah aku masak sendiri. Semua anak-anak akan memuji masakan ibunya lah yang paling sedap kerana setiap pagi, tengahari, petang dan malam makanan semua dimasak oleh ibunya sendiri.

Kalau ada suami pun suami akan berkata ibunyalah yang pandai dan sedap memasak. Kadang-kadang si isteri akan berkecil hati. Oleh itu kalau jadi suami jangan lupa pujilah masakan isteri tu mudah-mudahan isteri akan rajin memasak dan ke dapor. Kalau lewat pulang beritahu jangan sampai isteri menanti-nanti dimeja makan untuk makan bersama dan kadang-kadang pula ada yang isteri tertidur tak makan dan sisuami balik sudah makan diluar. Kalau sudah sering begini isteri akan merajuk dan mulalah tak mahu masak dan siapa pula yang nak dipersalahkan.

Tiba-tiba aku dikejutkan oleh cucu ku meminta kertas tisu. Aku menghulurkan kertas tisu yang sentiasa ada di atas meja tu.

Teringatkan kertas tisu aku tersenyum sendirian. Teringatkan peristiwa.....sedang aku duduk menikmati hidangan di suatu seminar aku menyuap sekeping karipap dan tiba-tiba kepingan karipap yang lembut tadi berderai jatuh keriba ku. Tak disangka-sangka ada seseorang menghulurkan sehelai kertas tisu ditangannya lantas aku mengambilnya dan membersihkan kepingan karipap tadi. Itulah lain kali jangan lupa bawa kertas tisu apabila makan. Aku tersipu malu kerana telatah ku diperhatikan oleh seseorang.

No comments:

Post a Comment