Followers

Tuesday, April 7, 2009

Mampukah aku merubah sekeping hati

Jika pandang kebelakang, kadang-kadang membuat aku hiba kerana apa yang ku inginkan berkecai bak kaca pecah dibatu.

Cahaya yang menerangi hidup ku sekeluarga tiba-tiba gelap gelita tiada bersua arah yang dituju. Menangis tiada guna, mengharap pada orang yang tak dipercayai tiada gunanya.

Kalau hati kita ni lembut sangat, begitulah jadinya. Orang sentiasa membuli, menggunakan dan mengambil kesempatan atas apa yang kita ada dan kebolehan kita. Aku pernah dipujuk dirayu untuk menandatangani di atas borang kosong sebuah syarikat untuk bertukar nama pemilik. Sangkaan baik ku hampa berkecai dan tak mungkin perkara sebegini berulang lagi dalam sejarah hidup ku.

Aku pernah mendengar sahabat ada mengatakan hati jangan lembut sangat kerana dia melihat aku terlalu lembut. Dia berkata ingin berjaya "biarlah hati kita keras dan kering". Perkataan ini juga aku pernah dengar dari seorang suami kawan anak ku yang mengatakan ibunya sangat keras hati. Mana tidaknya dia anak ke tiga belas dan anak bongsu ditinggalkan oleh bapanya semasa dia dalam kandungan ibunya empat bulan.

Ayahnya meninggalkan ibunya dan berkahwin lain. Ibunya terkapai-kapai menjual kueh untuk menanggung dan membesarkan anak-anaknya tanpa bantuan sedikit pun dari suaminya. Akhirnya ibunya berjaya dan sekarang membuka tiga restoran di Johor. Pernah satu ketika ayahnya datang ke gerai ibunya bersama-sama isteri baru lantas ibunya menyimbah dengan air cili kepada ayahnya (mungkin terlampau sakitnya hati).

Kadang-kadang kita tidak sedar diri kita terlampau berlembut sangat dan lurus. Kejujuran dan terlampau lurus atas kebenaran ada baiknya tetapi hati-hatilah dunia ini banyak tipu daya.


Biarlah apa yang berlaku berlalu ibarat air yang surut menuju ke lautan dan tidak akan pasang kembali.

Mampu kah aku untuk merubah sekeping hati yang lembut ini untuk menjadi keras dan kering......

No comments:

Post a Comment